Hukum Meminum Minuman Keras

Minuman Keras (Arak) yang mempunyai  pengaruh negatif yang kuat terhadap akal fikiran manusia dan mengakibatkan peminumnya lupa diri, adalah termasuk salah satu perbuatan syaitan dan merupakan dosa besar yang terkutuk. Kerana itu Islam dengan tegas telah mengharamkan orang Islam dari meminum arak.

Sebagaimana dalam Firman Allah Taala:

Ertinya: “ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan undi nasib adalah  kotor dari perbuatan syaitan, oleh kerana itu jauhilah dia, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan. Syaitan hanya bermaksud untuk mendapatkan permusuhan dan kebencian di antara kamu sebab arak dan judi, dan menghalang kamu daripada ingat kepada Allah dan sembahyang, apakah kamu tidak mahu berhenti”.

Kesimpulannya adalah amat jelas Allah Taala tegas dalam pengharaman meminum arak yang mana dinilai sebagai perbuatan najis lagi kotor yang diseiringkan dengan perbuatan-perbuatan dosa yang lain, iaitu menyembah berhala, bertenung nasib dan judi. Dalam erti kata lain semua jenis minuman yang boleh memabukkan dan menghilangkan kesedaran akal  fikiran apabila diminum adalah haram hukumnya.